D E J A V U
Karya: Ismail Kassan
Pengarah: Siti Rohayah Attan
Pelakon: Ogy Ahmad Daud, Shukor Yon, Juhara Ayub, Norzizi Zulkifli, Melissa Saila, Mubarak Majid dan ramai lagi
Tajaan: Kementerian Perpaduan Negara & Pembangunan Masyarakat dan Persatuan Penulis Wanita Malaysia
Tarikh: 24-29 Januari 2004
Tempat: Auditorium Besar Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang
Sinopsis:
Dejavu mengisahkan sebuah daerah tempat pesalah dibuang daerah. Lokasi tempat kejadian adalah penghujung rumah murah berhampiran rumah kongsi yang sudah tidak digunakan lagi.
Rumah kongsi itu dihuni sepasang suami isteri pendatang Indonesia yang cerdik pemikirannya kerana mereka bekas lulusan universiti iaitu Narti dan Yanto. Pasangan ini sebenarnya rindukan kampung halaman mereka dan berasa amat rendah diri sebagai pendatang. Jiran mereka pula adalah tiga wanita pelbagai status sosial iaitu Nora (GRO), Salmi (ustazah) dan Rohana (pelajar universiti).
Rohana sering dihantui mimpi yang menjadi dejavu kepada dirinya. Dia mendapat isyarat yang agak buruk mengenai tempat itu tetapi tidak dapat mentafsirkannya. Kesan isyarat yang tidak dapat ditafsirkan itu Rohana menjadi emosional dan tidak ketentuan.
Rohana juga sering memandang rendah ke atas Nora dan menghinanya. Bagaimanapun penghinaan itu tidak dipedulikan Nora dan hubungan mereka masih normal hinggalah mereka didatangi perompak dan cuba memperkosa mereka.
Ulasan-ulasan yang aku baca (secara sikit-sikit, tak baca keseluruhan artikel, konon cuba elak supaya aku menonton dengan 'open mind' tapi willpower' tak cukup kuat, nak jenguk jugak!) serta respon rakan-rakan yang dah menonton semuanya menyatakan best! Aku masuk dewan malam tu dengan penuh 'anticipation' untuk menyaksikan sesuatu yang sangat bagus, sangat baik dan pendek kata segala-galanya yang sangat , secara positif. Teruja (perkataan BM yang selalu digunakan bagi terjemahan 'excited' di kaca TV) sungguh rasanya.
Dan apabila aku melangkah keluar dewan jam 11.25 malam, memang aku puas hati. Sangat.
Aku nampak kekuatan pementasan Dejavu terletak paling ketara pada dua perkara (yang memang tunjang apa-apa pementasan sekalipun) iaitu naskhah pementasan yang baik dan lakonan yang sangat mantap, melengkapi antara satu sama lain.
Karya Dejavu diolah menampilkan isu-isu yang boleh dikatakan 'timeless' seperti perihal pendatang dari negara lain, kerinduan terhadap kampung halaman, konflik penyesuaian diri di tempat asing, imej perempuan GRO, serta perompak, perogol dan orang gila. Isu-isu yang aku jangka akan tetap relevan di khalayak kita, melainkan tiba pada satu masa akan datang apabila profesion buruh kasar diambil alih secara total oleh rakyat tempatan atau robot (lantas tiada lagi pendatang seperti Yanto dan rakan-rakannya), perempuan GRO dah tak wujud lagi di pusat-pusat hiburan (digantikan dengan hologram? atau robot jugak?), serta rompak dan rogol terhapus dari statistik jenayah tahunan – mungkin ke?
Lakonan yang dipersembahkan sangat mantap dan berkesan baik watak-watak utama mahupun watak-watak kecil, yang membawa penonton ke daerah buangan mereka. Semasa menonton Dejavu, aku nampak dengan jelas Narti (superb!) dan Yanto si pendatang, Nora si perempuan GRO, Pak Jamal penjual sayur / bekas banduan, perompak-perompak, polis, orang gila serta mat-mat Indon yang berkeliaran di atas pentas. Cuma pada Ustazah Salmi dan Rohana aku masih terlihat ada sedikit samar-samar Melissa Saila dan Norzizi Zulkifli - bukanlah lakonan mereka kurang bagus, cuma ini dari pendapat aku sendiri yang merasakan pembawaan Ustazah Salmi masih belum total 'Ustazah Salmi', dan Rohana masih belum cukup 'Rohana'. Bagaimanapun aku akur cara dan gerak pembawaan watak-watak ni tentunya diinterpretasikan mengikut acuan minda pengarah dan pelakon berkenaan, sedangkan aku menonton dengan acuan minda aku sendiri.
Aku harus salute Ogy sebagai Narti yang nampak sungguh 'real', dari cara dia bercakap hinggalah gerakan tangannya membetulkan kain, sampaikan mata aku terpana di minit-minit awal pementasan untuk meyakinkan diriku sendiri, itu Ogy.
Aku paling suka babak-babak monolog para pelakon, yang antara lain berfungsi sebagai sesi flashback mengapa mereka di situ (bagi Pak Jamal dan Nora). Monolog Ogy membuatkan aku terfikir, seburuk itukah layanan kita kepada para pendatang negara asing? ("Pulanglah kalian, nyah dari sini, jangan kalian pijak tanah ini, di sini maruah kalian akan dipijak, keringat kalian akan diperah, yang perempuan diperkosa. Kerana di bumi ini, kita sampai bila-bila dianggap pendatang, sedangkan ini bumi Allah!"). Shukor Yon pula transit secara total sebagai Yanto semasa scene beliau cuba mengingati baris lagu 'Begawan Solo' yang hampir dilupainya setelah sekian lama meninggalkan tanahair sendiri.
Pada watak Nora, aku nampak sikap masyarakat kita yang secara umum memandang hina kepada golongan yang dianggap berstatus lebih rendah dari mereka. Mimik muka dan nada suara yang ditampilkan Norzizi sewaktu Rohana berbicara (berdebat!)dengan Narti dan Yanto, sewaktu diusik oleh rakan-rakan Yanto, dan sewaktu dia dihadapkan dengan realiti pekerjaan Nora (pe-la-yan!), cemerlang sekali. Jelas menampakkan tanggapan bahawa beliau lebih bagus dari mereka, that she's too good for the place and is certainly on a higher level in every capacity.
Di sinilah Dejavu menggoncang tanggapan itu apabila kisah insan-insan yang dipandang hina dan tidak bertempat di sisi masyarakat ini dikupas, bagaimana keadaan memaksa tindakan dan mengubah kehidupan manusia. Betapa penilaian awal kita terhadap manusia selalu tidak tepat, selagi kita belum mengenali seseorang itu dengan lebih dalam.
Aku juga cukup tertarik dengan watak perompak (Shoffi Jikan) dan orang gila (maaf aku tak perasan namanya) dalam Dejavu. Dalam jahat-jahat si perompak, tetap mengingatkan rakannya (juga perompak) untuk membaca Bismilah sebelum makan. Dan dalam gila-gila si orang gila, tetap duduk untuk makan dengan penuh adab sopan dan menggunakan sudu untuk mencedok kuah ke nasi. Begitulah antara kelucuan yang diselitkan dalam Dejavu. Lucu, tapi penuh makna. Bukan acuan slapstik orang gemuk jatuh atau orang berkulit hitam disamakan dengan kuali.
Ia mengembalikan kenangan (macam deja vu la jugak) kepada peristiwa yang berlaku sewaktu rumahku dirompak dulu: Seorang dari perompak itu mengejutkan ayahku dengan elok dari tidur (sebelum mengikatnya), begini katanya, "Pakcik, bangun ya, pakcik, bangun...." (sambil mencuit bahu ayahku lembut); serta seorang lagi yang pantas menghulurkan kain pelikat untuk dipakai kepada seorang ahli keluargaku yang pada waktu itu berbaju tidur singkat, katanya, "Nah, pakai kain, tutup, kami cuma mau mengambil barang, jangan kata kami mau buat jahat lain". Serius! Bukanlah aku nak kata semua perompak sebenarnya baik, merompak tetap perbuatan jahat, tapi yang terselit di sebalik itu.... Mungkin keadaan memaksa dia bertindak demikian, sedangkan kalau boleh dia tak mau buat begitu!
Dejavu - dalam serius, ada komedinya, dan dalam komedinya, ada serius. Aku kategorikan sebagai pementasan teater Melayu yang cemerlang, kalau ada kesempatan rasanya mau aku tonton lebih dari sekali (macam SM dan oraet). Tahniah buat semua yang terlibat. Komen makcik aku (yang baru diperkenalkan kepada teater Melayu), "Best lagi yang ni dari Anak Kerbau Mati Emak walaupun buat kat tempat besar". Tak ralat kami bersesak-sesak sebelum masuk dewan serta terubat kecewa menghadapi sesat jalan, kepayahan mendapatkan parking dan kehabisan tiket pada malam sebelumnya. Berbaloi!
Cuma lain kali harapnya janganlah ada lagi penonton yang dah beli tiket tak dapat tempat duduk ya...
P.S untuk rakan-rakan PFS: Bukan taknak join korang minum lepas tu, tapi esoknya kerja daa... (which is why I quickly disappeared, bistreo!)
---------------------------------------
Trivia:
1. Karya ini pernah dipentaskan pada 1999 dengan tajuk Dejavu Seorang Perempuan serta mendapat sambutan menggalakkan.
2. Watak Narti sepatutnya dilakonkan oleh Erma Fatima (pemegang watak yang sama dalam Dejavu Seorang Perempuan), tetapi beliau menarik diri sepuluh hari menjelang malam pertama pementasan.
3. Ogy Ahmad Daud sebelum ini pernah menyatakan beliau tidak mahu berlakon lagi, namun tetap menerima watak Narti bagi menyelamatkan keadaan dan atas dasar membantu kawan.
(Rujukan Trivia: Artikel "Ogy Hadir Kena Masa", Harian Metro, ruangan Bintang, Khamis 22 Januari 2004)