KASANOVA
Karya dan Arahan: Kalam Hamidi
Lakonan : Khatijah Tan, Ibrahim Akir, Zakaria Yusof dan pelakon-pelakon teater Kelab Kilat Kuala Lumpur
Tajaan Bersama: Tenaga Nasional Berhad, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia
Sinopsis: Mengisahkan Tok Guru, seorang guru agama yang fanatik mempunyai seorang anak bernama Zulkifli (mendapat pendidikan sekolah agama di Kelantan dan baru menjadi Ustaz sekolah menengah di Kuala Lumpur). Kerana minat dan bakat, Zulkifli telah melibatkan diri sebagai pelakon utama sebuah persembahan teater berjudul “KASANOVA”. Apabila gambar Zulkifli bersama heroin persembahan tersebut, Siti Norbaya, tersiar dalam akhbar dan majalah untuk publisiti, seluruh kampung terutama keluarganya dan keluarga tunangnya kecoh dengan kemungkinan Zulkifli bercinta dengan Siti Norbaya seperti yang dilaporkan akhbar. Bagi mengatasi masalah ini, keluarga kedua-dua pihak bersetuju untuk memanggil Zulkifli pulang serta-merta untuk dinikahkan dengan cara mengirim telegram menyatakan ayahnya meninggal dunia. Rancangan itu bagaimanapun dibocorkan oleh sahabat (juga sepupu) Zulkifli, Lebai Kidam. Namun begitu Zulkifli tetap pulang untuk mengisytiharkan beliau sebenarnya telah berkahwin dengan Siti Norbaya.
Teater Kasanova juga bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada Kumpulan Teater Kelab Kilat Kuala Lumpur untuk mengembangkan sayap mereka selain menyertai Pertandingan Pekan Teater / Festival Teater Wilayah Persekutuan setiap tahun semenjak 1997 – mereka berjaya mencapai keputusan Naib Johan Tahun 1997 dan Tempat Ketiga Tahun 2003, not bad. Kelab Kilat adalah sebuah pertubuhan berdaftar yang bergiat aktif dalam menjalankan aktiviti-aktiviti sukan, rekreasi, kebudayaan, kesenian dan sebagainya di Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ahli-ahlinya terdiri dari anggota kerja TNB dan juga pelajar Universiti Tenaga Nasional yang berdaftar menjadi ahli Kelab Kilat.
Pertemuan singkat dengan Khatijah Tan pada petang hari ketiga persembahan mengundang senyuman di hati. Aku ke MTC petang tu untuk mendapatkan pas percuma bagi persembahan malam terakhir (ambil iktibar dari tiket-tiket persembahan lain yang pernah aku kempunan dulu). Malangnya hanya deretan buku cenderamata bersusun di atas meja dan poster Kasanova pada stand dengan dominan warna biru dan merah (warna korporat TNB) menyambut kehadiranku. Agh... tak ada pula dinyatakan di mana-mana bila masanya untuk ambil pas tersebut, aku pun satu, tak ada mengambil sebarang inisiatif untuk pastikan maklumat berkenaan. Padan muka. Aku berkira-kira sendiri sambil melangkah ke perkarangan Saloma Bistro - tunggu terus di MTC dan tengok persembahan malam itu juga , atau datang saja pada hari terakhir nanti seperti yang dirancang, harap-harap tak lambat dan dapat ambil pas sebelum persembahan dimulakan. Tiba-tiba ekor mataku menangkap kelibat seorang wanita berjalan dari arah tempat letak kereta, eh, macam biasa tengok. Kutuju ke arah beliau dan kusapa wanita yang diingati ramai sebagai Mak Uda, isteri kepada Pak Uda lakonan Zami Ibrahim dalam rancangan Pi Mai Pi Mai Tang Tu - sitkom tempatan yang paling lama bertahan di kaca televisyen setakat ini kalau tak silap.
“Saya ni sebenarnya nak ambil pas untuk show hari Jumaat , tapi tak ada orang la kat depan dewan.. nanti Jumaat baru nak ambik takut habis..”
“Eh... iye ke...tak ada orang ya? Macam nilah, kalau pas tu dah habis, cakap je awak kawan Khatijah Tan!”
Agak-agak kalau aku betul-betul buat macam tu, lepas ke?
Aku bertanyakan sambutan malam pertama dan kedua, katanya o.k!, boleh tahan juga. Setelah meminta diri aku membuat keputusan untuk datang hari Jumaat saja seperti rancangan asal. Ternyata kerisauanku, unfounded kata orang putih. Pada malam terakhir persembahan, tak payah ambil pas pun tak apa, masuk saja! Penonton memenuhi separuh kapasiti tempat duduk yang ada. Betapa berbezanya dengan sambutan persembahan malam terakhir Dejavu di tempat yang sama beberapa minggu lalu.
Konsep bagi intro yang dipersembahkan menarik. Mula-mula nampak jalan cerita dimulakan dengan watak empat orang buta berbual-bual di atas pentas, kemudian seolah-olah seperti sesi pengenalan sahaja sebenarnya apabila kata-kata mereka ditujukan kepada penonton secara langsung (melalui pantun dalam dendangan irama lagu ‘Rasa Sayang’ yang sungguh kreatif dan menggelikan hati - ”Penonton memang bertuah, dapat tengok persembahan free!” katanya), diselitkan pula sesi bersemangat seolah-olah ceramah politik pro-kerajaan (demam pilihanraya nyata dah bermula pada waktu itu). Diikuti dengan ucapan selamat menonton dan sedikit monolog dari tuan pengarah tentang pengalaman beliau. Aku sangkakan sah cerita belum bermula lagi… panjang sungguh intronya. Ahh… rupa-rupanya sudahh!! Itu kononnya babak sesi latihan bagi persembahan teater dalam cerita tersebut – cerita dalam cerita. Hm.. bijakkk bijakk.. Ted tertipu bang!!
Satu perkara yang agak menggusarkan ialah terlalu kerap dewan digelapkan bagi pertukaran babak, kadangkala aku rasa babak tu terlalu sekejap, transition begini sedikit mengganggu tumpuanku dan juga agak merimaskan, sekejap sekejap gelap, sekejap sekejap gelap lagi. Mungkin boleh dikurangkan sedikit, contoh ketara pada satu babak Zakaria Yusof menulis telegram, tak sampai pun setengah minit dah gelap semula. Namun langkah memainkan muzik selingan pada beberapa ‘waktu gelap’ tersebut sekurang-kurangnya menyediakan mood bagi penonton dan mengurangkan kebosanan.
Lakonan Ibrahim Akir berkesan sebagai Tok Guru yang taksub pegangannya dan mempunyai minda yang agak tertutup, hinggakan semua pakaian moden padanya pakaian bercirikan orang kafir. Dibidas oleh salah seorang anak muridnya, ”Kopiah, serban, jubah yang Tok Guru pakai, semuanya orang kafir yang buat!” Yalah, besar kemungkinan buatan negara China kan. Ahh pedas. Kalau makan cili, pasti terasa.
Khatijah Tan dengan mudah membawa watak Mak Limah (satu watak yang aku kira cukup natural baginya), seorang ibu yang mementingkan anak-anak dan seorang isteri yang sudah masak dengan perangai suaminya setelah berpuluh-puluh tahun usia perkahwinan. Walaupun cuma seorang suri rumah, ternyata minda beliau lebih terbuka dari suaminya dan boleh menerima perkara-perkara baru dan moden.
Zakaria Yusof sebagai Lebai Kidam adalah watak yang paling aku gemari, dengan mimik mukanya yang bersahaja, pada mulanya bersifat macam wireless internet membawa berita dan batu api yang memburukkan keadaan, tetapi di akhir cerita dia yang membuka rahsia. Di kaca televisyen beliau kerap diberikan watak komunis dan orang jahat, hingga di kepala aku pun dah lekat imej tersebut. Baru kali ini kuketahui nama sebenarnya.
Watak-watak lain lebih bertindak sebagai penyokong untuk melengkapkan babak, seperti Lebai Muda (Elrinor Azis) sebagai watak untuk establish sikap fanatik Tok Guru, menyindir-nyindir Tok Guru yang berbangga dengan pengalaman beliau mengajar lebih 20 tahun di Mekah dan Madinah. (Lebai Muda: ”Keldai lagi lama tinggal di Tanah Arab, dah beribu-ribu tahun keturunan dia, tapi, mandi junub pun tak tahu!!”). Macam kurang ajar pun ada Lebai Muda ni. Cikgu Yunan (Nazri Aziz) dengan tali leher besarnya kata makcikku adalah stereotaip guru zaman itu, ingin membawa arus kemodenan kepada penduduk kampung secara lembut. Watak Zulkifli walaupun menjadi penyebab cerita tidak berapa menyerlah, kemunculannya hanya sebentar di awal dan akhir persembahan.
Setnya ringkas, pentas MTC yang luas (mungkin dua setengah kali ganda lebih besar dari pentas di Actors Studio Bangsar) menjadi ruang tengah rumah Tok Guru / ruang mengajar, ada set meja makan ringkas dan satu rak penuh buku-buku. Di dinding penuh pelbagai hiasan bercirikan Islamik. Dua pintu keluar masuk kiri dan kanan, berhias langsir panjang beropol-ropol (macam kat rumah lama nenek aku). Klasik.
Rumah Tok Guru tak ada televisyen, maksiat katanya. Pada beberapa babak kita dapat saksikan konflik yang timbul antara Mak Limah dan Tok Guru, tentang kaedah mereka membesarkan anak, pilihan pembelajaran untuk anak-anak. Walaupun menjadi isteri Tok Guru yang lebih 20 tahun di Mekah dan Madinah, Mak Limah tetap berpendapat anak-anak tidak semestinya pula mengikut jejak langkah ayah mereka menjadi guru agama juga, dihantar ke sekolah pondok dan mengenepikan langsung ilmu dunia. Dan televisyen! Ah… dalam menyebut betapa anak-anak mungkin “teringin menonton televisyen”, sebenarnya itu adalah suara hatinya sendiri.
Jalan cerita Kasanova seperti di atas ringkas sahaja, malah ada dinyatakan dari mula sampai habis dalam buku cenderamata. Eh, tak thrill la macam ni. Mengambil period sekitar akhir 60-an atau awal 70-an, Kasanova secara umumnya bernada komedi, membenarkan cara percakapan dan aksi-aksi yang sesekali terlebih, exaggerated, jarang dibuat dalam kehidupan sebenar seperti cara anak-anak murid menyambut ajaran guru mereka, ”Kalau cium tangan ulamaaa… samalah seperti mencium tangan? Nabi nabiiiii!!! –aku suka bahagian ni, lucu dan ohhh sinisnya.
Perjalanan persembahan pasti lebih lancar kalau tidak terlalu kerap digelapkan dewan untuk pertukaran babak. Intro menarik, jalan cerita yang diisi sedikit-sedikit isu tentang pembangunan dan ulama dipaparkan secara bersahaja mengelakkan mood persembahan menjadi terlalu serius (aku tak suka komedi yang terlalu ‘berusaha’ untuk menjadi serius), cuma pada penghujungnya aku berpendapat kepulangan Zulkifli mengumumkan perkahwinannya tidak begitu berkesan. Namun sebagai teater pertama dari Kelab Kilat yang aku tonton, gambarannya memberangsangkan. Aku pasti akan cuba hadiri persembahan mereka yang lain pula.
Untuk persembahan percuma ini, 3.2 bintang aku berikan. Semoga ada lagi persembahan percuma yang lebih baik di masa hadapan! Dan harapnya letaklah informasi lebih lengkap pada poster ya…
Trivia :
1) Bukan orang asing dalam bidang teater dan penulisan, nama sebenar Kalam Hamidi adalah Abdul Malik Abdul Hamid, dikenali sebagai Panglima Drama pada zaman kegemilangannya.
2) Pak Kalam pernah diserang penduduk kampung di Brunei kerana menjadi orang pertama membawa naik perempuan ke pentas teater.
3) Skrip Kasanova sudah lama dihantar kepada Persatuan Karyawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan hanya menerima maklum balas daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan selepas tiga tahun.
4) Khatijah Tan pernah diiktiraf sebagai Aktres Pembantu Terbaik di Festival Asia Pasifik ke-47 menerusi filem Embun serta dianugerahkan Pingat Bintang Seniman dalam Anugerah Perdana Seniman 2004 baru-baru ini.