Wednesday, January 21, 2004

Kenapa dia di sini?



Ini bukan satu pemandangan yang asing di bandaraya Kuala Lumpur. Kau boleh nampak di kaki lima jalan, di stesen LRT, di hentian-hentian bas dan teksi, di laluan jejantas. Siang tak ada? Malam, banyak. Walaupun, ya, aku pasti kita takkan jumpa dengan paparan imej yang macam ni dalam iklan ‘Malaysia, Truly Asia’ (yang lagunya dinyanyikan dalam 27 bahasa! Wah!) atau risalah-risalah pelancongan, inilah salah satu detik yang ada dalam nadi Kuala Lumpur. Dalam setiap saat yang terlintas.

Setiap kali aku terpandang senario yang serupa, akan terdetik di fikiran:

“Kenapa dia di sini?”
“Apa kisah hidupnya?”
“Kat mana agaknya dia dua puluh lima tahun yang lalu?”


Dia di situ, kemungkinan besar sebab tak ada tempat lain yang boleh dia tuju. Yang mahu dia tuju.
Atau mungkin dia sengaja ke situ, walaupun ada tempat lain untuknya.
Merajukkah dia? Ditinggalkan anak-anak? Dihalau?

Mungkin fikirannya terganggu kerana dugaan hidup yang terlalu hebat? Lantas hilanglah kehirauannya.
Mungkin dia pernah melakukan kesalahan yang besar? Lantas inilah hukuman hidupnya.
Mungkin dia sendiri memilih hidup yang macam ni? Lantas selesalah dia di sini.

Dua puluh lima tahun dulu, di waktu ini mungkin dia sedang:

Enak diulit mimpi indah bersama isteri tercinta, yang telah berjanji akan sehidup semati dengannya walau apa pun terjadi. Mereka berkenalan sebab keluarga mereka berjiran di Ipoh; atau

Mendodoi anak kecilnya yang baru berusia dua bulan, yang tak henti-henti menangis kerana kembung perut. Baru tadi sapukan minyak angin cap kapak; atau

Supper di sebuah hotel mewah di kota Singa, bersama-sama rakan niaga selepas selesai satu perbincangan penting yang banyak untung. Esok nak berjumpa saudara pula di Bukit Timah.

Boleh jadi kan?

Ada sesiapa yang hirau? Kita?

Kita pun hulurlah seringgit (atau dua ringgit barangkali bila kita rasa sangat generous), masuk dalam tadahan tangannya. Dalam mangkuk kertasnya. Dalam bekas plastiknya. Kita rasa kesian. Tapi itulah. Mampu tak kau dan aku nak berbuat sesuatu yang lebih dari itu?

Aku harap aku takkan jadi begini bila aku dah tua nanti. Atau sesiapa pun dalam keluarga kami.

Aku tunjuk gambar ni pada abang aku. Abang aku cakap, pakcik ni sebenarnya polis! Dia mata-mata kat situ, sebab dekat-dekat sana kawasan ‘gelap’ sikit. Dia cakap, berani pulak ambik gambar? Aku cakap aku tak guna flash, lagipun aku ambik dari belakang.

Mak aku kata lain kali cuba perhati tangan orang-orang macam ini. Kalau kuku dia bersih ataupun pendek, boleh jadi betullah polis tu... nampak je macam hobo kat tepi jalan, tapi sebenarnya dia menyamar.

Penat jugak aku fikir tadi, kalau betullah dia memang sebenarnya polis.

No comments: